8.9.10

Saat-saat akhir Bersama Ramadhan


Salam pembuka bicara kepada teman seperjuangan yang tak sabar menyambut raya..

Puisi yang dipaparkan ini adalah hasil idea kreatif Ustaz Pahrol Mohd Juoi. Terlalu banyak yang ingin ditegur dan disampaikan oleh beliau melaluai puisi kreatif ini, semoga dapat maanfaat bersama ye kawan-kawan.

Raya tu raya juga, tapi pelajaran jangan dilupa, mungkin ada di antara sahabat sekalian yang akan bersua dengan juadah "test" dan "kuiz" buka kuliah nanti. Dengan meraih kejayaan kita dalam melawan nafsu dibulan Ramadhan, 'Aidulftr haruslah disambut dengan rasa penuh bersyukur dan dengan penuh keinsafan kerana ia merupakan lambang dimana manusia sepatutnya kembali kepada fitrah yang suci setelah bertungkus-lumus menyucikan diri memohon pengampunan dari Yang Esa di Bulan Mulia iaitu Ramadhan Al-Kareem.

IKHLAS DI HARI RAYA

Kita memberi bukan untuk menerima
Menabur budi bukan untuk dianggap berjasa
Moga tulus, putih dan murni hati kita
Memberi adalah kerana-Nya jua

Tidak mengapa jika tidak dikenang
Asalkan segalanya memberi satu ketenangan
Menyebut kebaikan meragut keikhlasan
Bukan kerana kelebihan kita…

Dalam samar mainan rasa
Kekadang datang jua serpihan bangga
Mengharap adanya balasan
Mendamba hadirnya kemasyhuran

Bukan itu yang diburu sejak mula
Ditagih kasih rasa di depan-Mu saja
Bila terasa segalanya dari-Mu
Rebahlah segala dari kita yang hina

Lalu…ke tika Takbir Syawal bergema…
Muhasabahlah tentang keberkesanan puasa kita
Apakah sudah ada keikhlasan…
di puncak taqwa.
Atau sekadar di pinggiran…
lapar dahaga!

Allah hu Akbar!
Allah hu Akbar!
Allah hu Akbar… walillah hil hamd
Oh, syukur kiranya Dikau masih sudi mengizinkan
Kami memuji dan memuja-Mu
Walau dengan lidah dan hati yang berdosa


BERILAH KEMAAFAN ITU

Berilah kemaafan itu
Lepaskan segala belenggu
Tanpa berpaling lagi
Pada dendam dan amarah

Berilah senyuman itu
Ikatkan doa yang suci
Pada salam yang terhulur
Pasti jiwa kan terhibur

Berilah hati itu
Bebaskan segala yang terbuku
Tanpa diguris duka
Pastikan dia bahagia

Berilah apa yang dipinta
Dengan apa yang kau ada
Pasti Tuhan menilainya
Diberi kelapangan jiwa!


TAKUT & HARAP DI AIDIL FITRI

Kekadang mahmudah tidak kecapaian
Hanya dengan tekunnya amalan
Tapi harus ditempa oleh tusukan ujian
Dari kesakitan, kegagalan dan…
persengketaan

Seringkali dosa dan mazmumah
Ditandai oleh perpecahan ummah
Sejauh mana kasih sesama manusia
Dibatasi oleh cinta pada yang Esa
Teguh iman, kukuhlah perpaduan

Kekadang Allah menyempitkan…
Supaya kita tak hanyut dalam kesenangan
Kekadang Dia melapangkan…
Supaya kita tak selalu dipagut kesempitan
Kekadang Dia melepaskan kita dari kedua-duanya
Supaya tidak bergantung kepada sesuatu
selain-Nya!

Ya Allah,
semoga di kemeriahan Syawal nanti
Hati kami tetap di madrasah Ramadan
Dalam alpa dan berdosa… kami takut
Dalam ingat dan taat… kami harap
Takut kemurkaan-MU!
Harap keampunan-MU!

Allah hu Akbar… Allah hu Akbar… Walillahhilhamd!


SEMAI KEBAIKAN TUAI KEREDHAANPada yang empunya harta melimpah
hulurkanlah zakat dan sedekah
Pada yang gagah sihat dan kuat
berilah tenaga dan keringat

Pada yang berbakat dan cendikiawan
murahlah dengan khidmat dan pengajaran
Pada yang miskin dan kesempitan
bersedekahlah dengan senyuman

Semua kita harus pemurah
Memberi bukan untuk bermegah
Tetapi itulah perintah Allah
Sebagai perantara rahmat dan barakah

Di dunia menyemai kebaikan…
Di akhirat nanti menuai keredhaan…
Di sini tempat berkerja memerah tenaga
Di sana tempat berehat menikmati syurga

Ramadan itu medan mujahadah
Agar di Syawal kembali ke fitrah
Perjuangan memang pahit kerana syurga itu manis
Ramadan itu bagai ‘dunia’ – menempuh ujian
Syawal itu umpama ‘akhirat’ – menempah kejayaan!


KEMBARA DI HARI RAYADahulu…
saat indah zaman nubuwwah
Di kanan iman, di kiri ukhwah
Di tapak… kebersihan hati
Di puncak… kecanggihan teknologi

Lalu keindahan Islam pun kembara
dari Makkah ke Madinah
Menuju Asia, Afrika dan Eropah
Jelajah seantero benua!

Ketika itu perilaku ummah dihias mahmudah
Di asas ‘lil Lah’ padu keikhlasan
Gerak kerja cekap dan berkesan
Kukuh seluruh sepenuh itqan

Puasa kita itulah kembaranya
Syawal kita itulah destinasinya
Membina TAQWA dengan yang Esa
Melahirkan AKHLAK sesama manusia
Menjana ITQAN di dalam kerja

Semuga Syawal kali ini
Adalah satu kemenangan
Menyemai kerendahan seorang hamba… di dalam jiwa
Menuai keperkasaan seorang khalifah… di maya pada
Jika tidak…
Kita terus terusan kembara!

Allah hu Akbar, Alllah hu Akbar, Allah hu Akbar!


PERISA HATI DI AIDIL FITRI

Kepelbagaian perisa menjadi satu rasa
Aroma yang berbeza bumbu kelazatannya
Pedas, harum, manis dan pahit bergaul mesra
Dalam resepi warisan sejak dahulukala

Pada kelembutan ketupat dan lemang
Pada keenakan lodeh dan rendang
Bersalut segala kreativiti dan aspirasi
Melahirkan citarasa yang serasi dan harmoni

Begitulah kiasan di Hari Raya
Hari mempertemukan semua yang berbeza
Segala bangsa, budaya dan agama
Buat menjalinkan kesatuan rasa

Berbeza bukan untuk bertentangan
Pelbagai bukan untuk bertikai
Di Aidil Fitri kita dipertemukan
Bagai ramuan dalam satu masakan

Inilah menu hakiki…
Inilah persaudaraan sejati…
Perisa hati di Aidil Fitri!


MAHAR CINTA SYAWAL

Dari medan Ramadan sepenuh perjuangan
Terpamir ketulusan jiwa, kemurnian hati,
kecerdasan fikiran, ketangkasan tindakan…
Ukir semurni tadbir
Tagih sesuci takdir

Dari takbir Syawal seluruh kemuliaan
lambang satu kemenangan
mengatasi kejahatan diri dalaman
menangani angkara musuh luaran
kembali ke fitrah…
kembali kepada Allah!

Hitung syukurmu di istana rahmat-Nya
Renung sukarmu di penjara dosa-dosa
Moga keberkatan Ramadhan…
Agar Kemuliaan Syawal…
Menjadi mahar seorang hamba…
untuk melamar cinta Tuhannya!


BUNGA TANJUNG
(Buat wanita solehah itu…)

Seroja wangi di jambangan
kemboja indah pandangan
anggerik cantik menarik
mawar merah menyala
… cuma Tanjung
di hujung kampung
harumnya sentiasa ada
tawadduknya tetap ketara

Bunga tanjung di hujung daun
Dipagar belantara merimbun
Namun harumnya sampai jua
… ke hujung kampung

Tanjung sepi sendiri
Mengadu sunyi di sisi Ilahi
Dia pilu yang menabur bakti
Tersiksa jiwanyaagar
Bahagia milik bersama
… tetap segar
… tetap mekar

Bunga tanjung mendakap wangi
Terseri di julang sanggul puteri
Gugurnya sebagai gugur serikandi
Bertuah anak yang memanggilnya ibu!
Beruntung suami yang memanggilnya isteri!


PELUANG SAMA NATIJAH BERBEZA

Ramadhan satu nasib tak serupa
Peluangnya sama natijah berbeza

Ramadhan mereka gemilang cemerlang
Mukmin berjasa diawal zaman
Ramadhan kami malam terbuang
Muslim berdosa di akhir zaman

Mereka gembira kerana kedatanganmu
Kami gembira dengan pemergianmu
Malam mereka meriah disimbah Nur al-Quran
Tapi malam kami muram bertemu dengkur

Mereka berlumba mengejar makrufat
Tapi kami lesu diburu nafsu
Hati mereka bercahaya digilap takwa
Jiwa kami gelap didera dosa

Takbir mereka takbir kemenangan
Hadiah mujahadah sebulan ramadhan
Takbir kami lesu tak bermaya
Tanda kalah lemah tak berdaya
Puasa sekadar lapar dan dahaga



MUHASABAH RAMADAN

Hari Raya Hari Kemenangan
Hari Kesyukuran Dilimpahi Kemuliaan
Di Lipatan Seni Mehnah
Ada Maksud Murni Yang Lebih Hakiki

Pada Nafsu Yang Dilentur Lapar Dahaga
Pada fikiran Disinar Wahyu dan Sabda
Pada Hati Bersih Di Solat Tarawih
Apakah Semuanya Telah Dimiliki

Puasa Mengajar Erti Ketabahan
Menghadap Ujian Berlandaskan Iman
Puasa Perisai Yang Sangat Maknawi
Penyinkap Hijab Antara Hamba Dengan Illahi

Puasa Sempurna Menahan Rohani dan Rasa
Puasa Sederhana Menahan Indera dan Juga Anggota
Puasa Biasa Hanya Melawan Lapar dan Dahaga
Lalu Di Manakah Puasa Kita
Adakah Masih Di Tahap Lama

Lalu Muhasabah Di Hujung Ramadhan
Sudahkah Terbangun Jiwa Teguh Dankukuh
Atau Kolam Jiwa Masih Tercemar Keruh
Bersembilu Dosa Duri Angkara

Ketika Bertahmid
Bertakbir
Bertasbih
Terasakah Ita Hamba Illahi
Yang Hanya Mampu Mengukir Tadbir
Sedangkan Padanya Segala Takdir